Thursday, March 26, 2015

Jawi, tolong lepaskan saya dari penindasan ini – Nik Raina Nik Abdul Aziz - The Malaysian Insider

View and read more at http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/jawi-tolong-lepaskan-saya-dari-penindasan-ini-nik-raina-nik-abdul-aziz

www.themalaysianinsider.com/rencana/article/jawi-tolong-lepaskan-saya-dari-penindasan-ini-nik-raina-nik-abdul-aziz Pada 23 Mei, 2012 tanpa notis dan tanpa asas undang-undang, Jawi telah menyerbu Borders Bookstore, sebuah kedai buku yang merupakan gedung ilmu dimana saya dan ramai lagi anak- anak Melayu/Islam bekerja mencari rezeki yang halal. Saya dan pekerja lain yang Muslim dan bukan muslim telah diarahkan oleh majikan kami iaitu Berjaya Books sSdn Bhd yang dimiliki oleh Berjaya Corporation, untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya walaupun tindakan Jawi diragukan kesahihannya. Amatlah menyedihkan bagi diri saya dan rakan sekerja lain apabila kami diperlakukan dengan kasar oleh Jawi semasa proses siasatan. Terlalu hiba hati saya apabila saya ditangkap setelah memberikan penyataan bertulis sedangkan kehadiran saya di pejabat Jawi adalah demi membantu proses siasatan. Rayuan demi rayuan telah dibuat oleh majikan saya kepada Jawi dan pihak berkuasa yang berkenaan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Namun, pada 30 Mei, 2012, Jawi berkeras mendakwa dan menuduh saya di mahkamah syariah atas kesalahan menyebarkan buku yang dikatakan menghina Islam. Saya bukan penulis buku itu. Saya bukan pemilik kedai buku itu. Saya juga tidak mendapat sebarang keuntungan dari hasil jualan buku itu. Jawi juga tahu bahawa saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan jenis dan tajuk buku yang dijual di Borders Bookstore. Kesalahan saya hanyalah kerana saya merupakan pengurus stor berbangsa Melayu, beragama Islam yang pada pandangan Jawi boleh dijadikan kambing hitam untuk menunjukkan kekuasaan Jawi. Walaupun Jawi menyedari bahawa tidak ada sebarang perintah larangan atau fatwa dari manamana pihak yang mengharamkan buku itu, Jawi masih bertegas mahu mendakwa saya sedangkan sebagai orang awam, saya sendiri tidak mengetahui atau memahami kandungan buku itu. Sejak didakwa oleh Jawi, kehidupan saya dan keluarga menjadi gelap seperti beraraknya mendung hujan. Sejak dari itu, kebebasan saya telah diragut dan hidup saya tertakluk di bawah satu jaminan. Malah, semua suratcara mahkamah memanggil saya sebagai Orang Kena Tuduh (“OKT”) dan saya dimasukkan ke dalam kandang OKT pada setiap prosiding mahkamah. Betapa hiba dan aibnya perasaan saya setiap kali saya dimasukkan ke kandang tersebut. Masyarakat mencurigai keluarga saya tanpa memahami apakah isu sebenarnya. Yang ketara pada mata masyarakat ialah saya didakwa menghina Islam. Maka, keluarga besar saya juga mengalami tempias pandangan serong tersebut. Terperangkap dengan keadaan tersebut, majikan saya iaitu Berjaya Bookstore telah bermurah hati. Pada 22 Mac 2013, hakim mahkamah tinggi sivil, Datuk Zaleha Yusof telah memutuskan bahawa tindakan Jawi tersebut adalah salah di sisi undang- undang. Hakim juga telah mengarahkan supaya Jawi menarik balik tindakan pendakwaan terhadap saya. Namun, bila perkara ini dipanggil di hadapan Mahkamah syariah pada 7 Oktober, 2013, Ketua Pendakwa Syarie Jawi (“KPS Jawi”) tidak menarik balik pertuduhan terhadap saya. Sebaliknya, KPS Jawi memaklumkan bahawa Jawi akan merayu terhadap keputusan mahkamah tinggi sivil tersebut. Oleh itu, hakim mahkamah syariah menangguhkan kes jenayah syariah sehingga keputusan rayuan Jawi di Mahkamah Rayuan Sivil. Pada 30 Disember, 2014, dalam sidang mahkamah rayuan sivil oleh Datuk Haji Mohd Zawawi bin Salleh, Datuk Umi Kalthum binti Abdul Majid dan Datuk Mah Weng Kwai, mahkamah rayuan juga telah memutuskan bahawa tindakan Jawi tersebut adalah salah di sisi undang- undang, melanggari Perlembagaan dan mengarahkan supaya Jawi menarik balik tindakan pendakwaan terhadap saya. Apa yang perlu dilakukan KPS Jawi hanyalah melaksanakan kuasanya untuk menarik balik pertuduhan terhadap saya. Malangnya, pada 26 Februari 2015, KPS Jawi tidak berbuat demikian. Sebaliknya, KPS Jawi memohon supaya pertuduhan terhadap saya diteruskan dan jaminan ke atas diri saya dilanjutkan atas alasan Jawi mahu merayu lagi ke mahkamah persekutuan sivil. Oleh itu, hakim syarie Tuan Mohd Amran bin Mat Zain telah mengambil iktibar dari kes yang disandarkan oleh peguam saya tentang kesan mudarat yang dialami oleh OKT apabila dikenakan pendakwaan tanpa berkesudahan: “… seseorang tidak patut dibebankan dengan proses pendakwaan. Melakukan sedemikian adalah satu kezaliman. Ia adalah zalim kerana dia mengalami stigma sosial bahawa seandainya seseorang dikenakan pendakwaan dan pertuduhan jenayah, dia telah bersalah. Dia dipulaukan oleh rakan-rakan dan masyarakat. Keluarganya diaibkan. Dia mengalami penderaan mental. Dan tidak kurang pentingnya, dia terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membela dirinya. Jikapun akhirnya dibebaskan, kerosakan dan mudharat telah berlaku.” Sehubungan itu, hakim Syarie Tuan Mohd Amran bin Mat Zain telah melepaskan saya dengan kata-kata berikut: “Di tahap ini Mahkamah perlu menimbangkan kemaslahatan tertuduh dengan mengimbang dua keadaan iaitu ad-dararu yuzal, kemudaratan di antara kemudaratan. Mahkamah perlu menimbangkan mana yang lebih memberikan keringanan daripada kemudaratan. Oleh itu, mahkamah perlu memberikan satu pertimbangan yang wajar supaya perkara ini tidak dilihat sebagai satu kontradiksi atau kesalahan atau percanggahan antara sistem perundangan. Walaupun Malaysia mengamalkan dualisme, dua sistem perundangan, yang ditadbir di mahkamah syariah dan mahkamah sivil tapi roh dan kehendaknya adalah satu, bila mana melibatkan kepentingan perundangan. Oleh itu, mahkamah dengan ini berpuas hati dan memerintahkan seperti berikut bahawa Nik Raina binti Nik Abdul Aziz adalah diperintah dilepaskan tanpa dibebaskan.” Sebagai orang awam, apa yang penting bagi diri saya ialah saya telah dilepaskan oleh tiga mahkamah iaitu mahkamah tinggi sivil, mahkamah rayuan Sivil dan mahkamah tinggi syariah. Saya menyangka derita dan aib yang saya tanggung selama tiga tahun telah berakhir. Namun, kegembiraan saya tidak berkekalan. Pada 12 Mac, 2013, kegembiraan yang saya rasai hancur berkecai apabila Jawi menyerahkan kepada saya notis rayuan ke mahkamah rayuan syariah. Saya merasa hairan dengan tindakan Jawi itu kerana melakukan sedemikian setelah menyerahkan kepada hakim syarie untuk membuat keputusan. Apakah KPS Jawi tidak menghormati perintah- perintah dari mahkamah sivil dan mahkamah syariah tersebut? Amatlah tidak adil majikan saya terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membela diri saya di mahkamah sivil dan di mahkamah syariah. Saya juga merasa malu untuk terus menyusahkan dan membebankan majikan saya dengan segala perbelanjaan yang tidak sepatutnya perlu ditanggung sepanjang tiga tahun ini dan akan berlarutan dengan tindakan terkini Jawi. Sebaliknya, saya juga tidak mampu untuk membayar kos guaman jika saya tidak disokong oleh Borders atau saya tidak lagi bekerja dengan Borders. Mana- mana majikan tidak akan mahu mengambil saya bekerja jika mengetahui keadaan diri saya ini. Peluang saya memperbaiki kerjaya diri saya menjadi terjejas. Inilah dilema diri saya yang tidak pernah difikirkan oleh Jawi. Saya merasa sangat lelah dengan kerenah Jawi yang tidak habis- habis meneruskan tindakan yang tidak membawa manfaat kepada sesiapa jua. Saya merasa sangat tertekan dan merayu kepada pemimpin negara supaya dapat memerhatikan tindakan Jawi ini yang menjemukan rakyat awam termasuk masyarakat Islam. Saya merayu kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi Wilayah Persekutuan untuk menegur Jawi supaya mempunyai kebijaksanaan dalam tindak-tanduknya. Atas rasa pasrah ini, saya meminta supaya kebebasan diri saya dikembalikan. Saya meminta supaya hak-hak saya di bawah Perlembagaan Persekutuan dipelihara. Apakah KPS Jawi tidak menghayati kata-kata hakim syarie Tuan Mohd Amran bin Mat Zain “supaya perkara ini tidak dilihat sebagai satu kontradiksi atau kesalahan atau percanggahan antara sistem perundangan”? Apakah keuntungan yang diperolehi Jawi dari terus mengasak dan memangsakan saya? Apakah mudarat kepada Jawi atau masyarakat Islam amnya jika saya dilepaskan? Apakah Jabatan Peguam Negara tidak menasihati KPS Jawi tentang bahaya memaksakan pertembungan undang-undang dengan tindakan yang dilakukan oleh KPS Jawi tersebut? Apakah lagi yang Jawi mahukan terhadap diri saya? – 25 Mac, 2015. *Nik Raina Nik Abdul Aziz adalah pengurus kedai buku Borders yang masih dimangsakan oleh Jawi. *Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

(Auto-Posted-Link via IFTTT from Justice In Malaysia fbpage on March 26, 2015 at 06:58PM.)

0 comments:

Post a Comment

Share

Join us on Facebook