Monday, April 6, 2015

Suluk adalah kaum, bukannya pertubuhan – Pencari Kebenaran - The Malaysian Insider

View and read more at http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/suluk-adalah-kaum-bukannya-pertubuhan-pencari-kebenaran

Selepas lama saya memerhati situasi di Malaysia terutamanya di negeri Sabah, terlalu banyak isu perkauman yang bagai tidak akan surut ditelan masa. Isu ini timbul tenggelam bersilih ganti, bagai tiada 'pemberat' atau penyelesaian yang boleh terus menenggelamkannya ke dasar.

Isu “Suluk” adalah isu yang harus diberi perhatian. Kaum Suluk di Sabah dan di seluruh Malaysia bagai menjadi 'bahan' kutukan dan kajian, malahan menjadi isu politik tatkala kes Lahad Datu dan Isu kad pengenalan di Sabah. Ramai menuding jari kepada kaum Suluk sebagai punca kepada permasalahan itu, sedangkan Suluk itu cuma satu kaum yang wujud di muka bumi ini, ia bukan pertubuhan yang mana semua ahlinya mempunyai ideologi yang sama.

Saya beri satu contoh, kaum cina yang berasal dari negara China, kita boleh tahu mereka rakyat Malaysia dengan melihat pemilikan kad pengenalan. Sama juga dengan kaum lain seperti kaum Bugis, Jawa, Banjar, Visaya dan lain-lain, di mana mereka bukannya orang asal negara Malaysia.

Bila ada isu PATI, orang akan terus menganggap orang suluk sebagai pendatang sedangkan kalau dilihat dari sejarah negeri Sabah, Ketua Menteri Pertama Sabah adalah orang yang berdarah Suluk dan Mat Salleh yang diangkat sebagai Pahlawan Sabah juga berdarah Suluk.

Kalau difikirkan secara logik, apabila Sultan Sulu telah mentadbir sebahagian Sabah suatu ketika dahulu, semestinya ramai orang Suluk yang berhijrah ke Sabah sejak berkurun lama. Justeru itu, sudah semestinya kaum Suluk telah lama bertapak di Sabah walaupun dinasti Kesultanan Sulu telah berakhir di Sabah. Justeru itu, tiada sebab untuk mengatakan kaum Suluk itu adalah kaum pendatang asing, seolah-olah kaum Suluk baru sahaja berhijrah ke Sabah.

Adalah sesuatu yang mengecewakan apabila isu 'Suluk Pendatang' tidak dibendung dengan sebaiknya. Kalau di Sabah, kebanyakan orang tempatan menggelar kaum Suluk sebagai 'Pilak' iaitu panggilan mengeji daripada orang tempatan kepada orang Suluk. Ini membuktikan sentimen perkauman semakin meruncing di Malaysia. Apatah lagi kenyataan Ketua Menteri Sarawak yang secara terang- terangan menyebut 'Suluk and Bajau' dalam ucapannya mengenai isu pendatang asing di Sarawak. Seolah-olah tiada tempat untuk kaum Suluk di negeri tersebut.

Apakah kesalahan Sulu Filipina di Lahad Datu perlu diletakkan di bahu kaum Suluk Malaysia? Kenapa perlu salahkan keseluruhan sesuatu kaum itu jika masalah berpunca dari seorang dua?

http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/suluk-adalah-kaum-bukannya-pertubuhan-pencari-kebenaran

(Auto-Posted-Link via IFTTT from Justice In Malaysia fbpage on April 06, 2015 at 01:19AM.)

0 comments:

Post a Comment

Share

Join us on Facebook