Dulu, masa saya sekolah rendah, saya pernah ikut Ustaz saya dalam satu perjalanan. Dalam perjalanan kami, kami melalui sebuah gereja. Ketika lalu di hadapan gereja tersebut, Ustaz saya kata: "Jangan tengok salib tu. Nanti hilang hafazan." Bila saya dah besar, belajar di Jordan, ambil Usuluddin di Yarmouk University, Irbid, saya tahu apa yang diungkapkan Ustaz saya itu tidak benar. Salib tidak punya apa-apa kuasa ke atas kita. Tak nak hilang hafazan, mengulanglah banyak kali. Bukan salahkan salib. Di Jordan, bawah pengkhususan Usuluddin, saya belajar mata pelajaran Muqoranatul Adyan atau perbandingan agama. Guru saya, Dr Ala' Hilat bahkan bercadang nak bawa rombongan kelas ke Gereja utama orang Kristian di Mount Nebbo, berdekatan Laut Mati. Cuma tahun saya ambil mata pelajaran itu, rombongan tak jadi. Pelajar selepas saya bertuah sebab rombongan itu berjaya dijalankan. Jordan negara yang majoritinya beragama Islam. Namun gereja masih ada di sana sini. Lambang salib besar kecil tak pernah menjadi isu. Saya pernah ke Korea. Negara majoriti bukan Islam. Gereja banyak di sana. Namun Muslim dibenarkan bina masjid besar. Walaupun minoriti. Saya berpeluang solat Jumaat di sana. Kenapa di Malaysia sikap kita aneh? Agong kita Melayu Islam. Sultan-sultan kita Melayu Islam. Perdana Menteri kita Melayu Islam. Kebanyakan menteri kita Melayu Islam. Agama rasmi agama Islam. Apa sebenarnya yang kita takutkan? Kenapa kita nak kena resah dan gelisah dengan 'agenda Kristianisasi'? Kita sebenarnya hanya takut dengan bayang-bayang sendiri. Kita takut sebab kita tahu kita tak bersungguh jadi muslim yang baik selama ini. Kita takut sebab kita tak pernah rajin nak mendekati non-muslim. Kita takut sebab kebanyakan duta-duta Muslim Muslimah kita di media massa(yakni selebriti dan artis-artis) tak tunjuk contoh pun sebagai melayu Islam. Kita takut sebab kebanyakan drama dan filem serta lagu-lagu kita yang berdendang sini sana tak menggambarkan pun kita Muslim. Kita banyak percaya benda-benda tahyul dan khurafat. Kita tak betul-betul dalami Islam dan memahami sebenar-benarnya ajaran serta perjuangan Rasulullah SAW. Islam kita Islam celup. Sebab itu kita takut. Maafkan saya membebel panjang. Saya memang hairan. Saya teringat hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud. Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang satu zaman, musuh akan menggerumuni kamu sebagaimana semut menggerumuni makanan. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, adalah ketika itu kami sedikit? Rasulullah SAW bersabda: Tidak. Bahkan kamu ramai. Tetapi ibarat buih di lautan." Dalam hadith itu, Rasulullah tak sebut kita dikerumuni musuh sebab musuh kita kuat. Tetapi Rasulullah SAW menyatakan bahawa kita dikerumuni musuh sebab kita lemah macam buih. Buih di lautan ni, tak payah kita sentuh pun, dia meletup sendiri balik ke laut. Kita sepatutnya kena banyak muhasabah. Biar kita jadi duta yang baik kepada Islam. Bukan jadi fitnah kepada Islam. Muhasabah. -HILAL ASYRAF