Tuesday, July 22, 2014

Benarkah pemuda dan pemudi Cina tidak berminat atau takut untuk menjadi polis ?

Lebih 3,000 permohonan jawatan konstabel daripada kaum Cina
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_28.htm

08/05/2014 7:58pm

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 3,314 permohonan untuk jawatan konstabel daripada masyarakat Cina sejak dua bulan lepas, kata Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan) PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin.

Beliau berkata, jumlah permohonan itu adalah paling tinggi pernah dicatat dalam sejarah PDRM.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,094 merupakan permohonan dari golongan lelaki dan 1,220 permohonan kaum perempuan,” katanya dalam sesi wawancara Perkembangan Eksesais Pengambilan Khas Jawatan Konstabel dalam Kalangan Kaum Cina dalam Kerjaya PDRM 2014 di sini hari ini.

Beliau berkata, calon akan disenarai pendek bermula 25 Mei ini sehingga bulan Jun dan mereka yang dipilih perlu menghadiri sesi ujian fizikal dan temuduga.

Bilangan kaum Cina yang berkhidmat dalam PDRM ketika ini hanya 1.87 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja PDRM. - Bernama


Peluang kaum Cina sertai PDRM (21 Mac 2014)
http://www.sinarharian.com.my/peluang-kaum-cina-sertai-pdrm-1.262304

KOTA BHARU - Ekoran kekurangan anggota bangsa Cina dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu roadshow bagi pengambilan Konstabel Cina untuk wanita dan lelaki diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chong Cheng dan Chong Hwa, di sini, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, setakat ini hanya satu peratus atau 34 anggota daripada 3,000 anggota di Kelantan berbangsa Cina, manakala selebihnya Melayu.

Peluang ini harus direbut kerana PDRM telah memberi kelonggaran terhadap perjawatan Konstabel, yang mana lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lulus Bahasa Melayu boleh memohon.

Berbanding sebelum ini, kita menetapkan syarat perlu mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu, kini syarat itu dilonggarkan dan ia peluang yang baik kepada golongan muda terutama kaum Cina,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang pelajar lepasan SPM, Tiew Meng Hock, 17, berkata, dia minat dunia kepolisan sejak sekolah rendah lagi.

Sebelum ini saya tidak begitu memahami kerjaya ini, namun selepas mendengar taklimat PDRM, saya nampak lebih jelas masa depan dalam kerjaya ini," katanya.

Hanya 1% kaum Cina sertai polis (21 Mac 2014)
http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140321/wt_03/Hanya-1-kaum-Cina-sertai-polis

KOTA BHARU 20 Mac - Hanya kira-kira 1 peratus iaitu 34 orang daripada 3,000 anggota polis di negeri ini berketurunan Cina.

Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa masyarakat berketurunan Cina tidak berminat untuk menyertai pasukan keselamatan itu.

Justeru itu, polis Kelantan mengadakan sesi eksesais khas pengambilan anggota bagi jawatan konstabel lelaki dan wanita dari kaum Cina di negeri ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, langkah itu diambil selaras dengan hasrat pucuk pimpinan yang memandang serius dengan penglibatan kaum Cina dalam pasukan polis.

"Ini adalah salah satu langkah yang dibuat untuk menggalakkan kaum Cina menyertai pasukan PDRM memandangkan di Kelantan kira-kira 1 peratus iaitu hanya 34 daripada 3,000 anggota polis adalah terdiri daripada kaum Cina.

"Difahamkan, pengambilan ini adalah untuk mengisi Bahagian Siasatan Jenayah yang mengalami kekurangan anggota dari kaum Cina," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pada sesi eksesais pengambilan jawatan konstabel lelaki dan wanita untuk kaum Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, di sini hari ini.

Sesi taklimat khas tersebut turut dilaksanakan di SMJK Chung Cheng bagi memberi peluang kepada pelajar yang baru sahaja menerima keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan pendedahan mengenai kerjaya sebagai anggota polis.

Dalam pada itu, Yong Heng berkata, pihak polis kini melonggarkan beberapa syarat pengambilan selain mengkaji aspek penambahbaikan perkhidmatan bagi menarik penyertaan lebih ramai kaum Cina dalam pasukan keselamatan itu.

"Kelonggaran syarat bagi kaum Cina adalah hanya perlu lulus Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus ujian penglihatan.

"Selain itu, tempoh latihan juga dipendekkan kepada enam bulan sahaja berbanding sebelum ini mereka perlu menjalani latihan di antara sembilan bulan sehingga satu tahun," katanya.

Sementara itu, seorang pemohon, Tiew Meng Hock, 19, berkata, dia memilih untuk memohon jawatan berkenaan kerana minatnya yang mendalam terhadap pasukan polis selain mendapat sokongan daripada keluarga.

"Sejak dahulu lagi saya memang bercita-cita untuk menjadi anggota polis kerana berpeluang menjaga keselamatan negara," katanya.

Seorang lagi pemohon, Owi Ping Ping, 19, berkata, dia sememangnya berminat untuk menyertai pasukan polis yang dilihatnya mampu mendisiplinkan diri.

"Walaupun saya wanita, namun ia bukan penghalang untuk saya menjadi seorang anggota polis kerana itu adalah minat saya sejak kecil lagi, " katanya.

0 comments:

Post a Comment

Share

Join us on Facebook