Wednesday, April 8, 2015

Pota tidak mampu tangani masalah keganasan, kata pemimpin Umno - The Malaysian Insider

View and read more at http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pota-tidak-perlu-tidak-mampu-tangani-masalah-keganasan-kata-pemimpin-umno

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pota-tidak-perlu-tidak-mampu-tangani-masalah-keganasan-kata-pemimpin-umno Ketua Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah berkata undang-undang sebelum ini seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1948 (ISA) juga tidak dapat membendung kebangkitan kumpulan militan. "Rasional untuk Pota (Akta Pencegahan Keganasan) adalah lemah,” kata Saifuddin, kerana ISA gagal menghalang kebangkitan Al-Maunah, kumpulan militan yang merampas senjata dari sebuah kem tentera di Perak pada 2000. Begitu juga, Akta Patriot Amerika Syarikat sendiri gagal menghalang kebangkitan kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider. "Paradigma pencegahan adalah ungkapan yang sangat menarik. Tetapi malangnya, ia tidak menunjukkan akta itu mampu mencegah keganasan,” katanya. Saifuddin berkata undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) sudah mencukupi. Pentadbiran Najib membentangkan rang undang-undang Pota pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini dengan alasan langkah lebih ketat diperlukan untuk membendung rakyat Malaysia daripada menyertai kumpulan pengganas. Ahli Parlimen dijangka membahaskan dan meluluskan Pota dalam beberapa hari lagi. Saifuddin antara pemimpin Umno terbaru yang menentang Pota selain Majlis Peguam yang turut mengeluarkan kenyataan menggesa penarikan rang undang-undang berkenaan, semalam. Rang undang-undang itu dibangkitkan selepas Kementerian Dalam Negeri mengumumkan 75 individu ditangkap kerana terbabit dengan Isis pada 31 Mac lalu. Pengkritik rang undang-undang itu mendakwa akta berkenaan mempunyai persamaan dengan ISA yang dimansuhkan pada 2011 yang memperuntukkan hukuman tahanan tanpa bicara. Suspek boleh ditahan sehingga maksimum 59 hari (termasuk tempoh reman awal), sebelum dibawa menghadap Lembaga Pencegahan Keganasan yang boleh dikenakan tahanan lanjut sehingga 2 tahun. Berikutan itu, tempoh tahanan boleh diperbaharui jika lembaga memutuskan terdapat alasan yang munasabah. Ia juga boleh mengarahkan seseorang untuk dibebaskan jika difikirkan perlu. Rang undang-undang itu tidak membenarkan sebarang rayuan semula kehakiman di mana-mana mahkamah, menyatakan tiada mahkamah mempunyai kuasa atau menjalankan apa-apa bidang kuasa berkenaan kehakiman, sebarang akta yang dikuatkuasakan atau keputusan dibuat lembaga mengikut budi bicaranya. Bagaimanapun, ia dengan jelas menyatakan tiada siapa yang boleh ditangkap dan ditahan "semata-mata" kerana kepercayaan politik atau aktiviti politik. Rang undang-undang Pota dijangka diluluskan jika Barisan Nasional mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat. “Akta Hasutan dan ISA kerap disalahgunakan," kata bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu. "Dalam suasana di mana polis secara berlebihan menggunakan Akta Hasutan dan ada tangkapan tidak wajar, pelaksanaan Pota bermula dengan kepercayaan yang menurun,” katanya. Beliau merujuk kepada tangkapan yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu terhadap aktivis dan ahli politik pembangkang yang didakwa mengikut Akta Hasutan. Penangkapan itu memberi gambaran kerajaan sedang menidakkan perbezaan pendapat politik. "Apabila pihak berkuasa memperkenalkan Pota dengan jumlah pesalah yang semakin meningkat (dikenakan) hukuman mengikut Akta Hasutan, bagaimana anda mengharapkan rakyat mudah menerima niat anda untuk mencadangkan Pota,” katanya. Saifuddin berkata penyelidikan di United Kingdom menunjukkan walaupun kedudukan penilaian sesebuah kerajaan meningkat menerusi undang-undang baru yang diluluskan, ia juga mewujudkan kelompok radikal. "Sebahagian orang akan rasa lebih gelisah kerana undang-undang yang tidak adil dan menjadi radikal. Individu radikal ini tidak sepatutnya menyertai kumpulan pengganas. "Tetapi bagaimanapun, kita mesti sedar tentang fenomena ini kerana ia juga boleh berlaku di sini,” katanya. Sebaliknya Saifuddin menegaskan pelan untuk memerangi aktiviti keganasan secara lebih holistik perlu mengambil kira dimensi sosiopolitiknya. "Ini bukan saja isu keselamatan. Kita memerlukan kerjasama lebih baik dan mengaktifkan Institut Keamanan dan Pendamaian Asean (AIPR),” katanya. Beliau berkata, Putrajaya juga perlu mengukuhkan pasukan Pencegah Keganasan dan Ekstrem (CVE) dan menubuhkan pusat pemantauan kebangsaan yang melibatkan semua agensi serta kumpulan bukan kerajaan. Katanya, pusat pemantauan itu harus dipimpin individu yang boleh melaporkan terus kepada perdana menteri dan bukan kepada menteri dalam negeri atau menteri pertahanan. “Pusat ini juga perlu menyampaikan mesej dan bekerjasama di peringkat serantau dan memantau gerakan kumpulan militan Isis. "Kita perlu menangani punca sebenar dan memerangi keganasan mestilah seimbang dengan keperluan untuk mengukuhkan demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia,” katanya. – 6 April, 2015.

(Auto-Posted-Link via IFTTT from Justice In Malaysia fbpage on April 08, 2015 at 02:42AM.)

0 comments:

Post a Comment

Share

Join us on Facebook