http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/berjuang-untuk-semua-dr-tajuddin-mohamad-rasdi
13 June 2014
Untuk menjadikan mahasiswa Melayu sebagai calon terbaik bagi kepimpinan komuniti, bangsa dan industri, mereka perlu mempunyai daya juang,
bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi lebih penting lagi adalah untuk orang lain.
Mungkin ramai pembaca terpinga-pinga kenapa pula nilai ini harus ada dan tidakkah yang dipentingkan adalah diri sendiri dan selepas itu baru orang lain? Sebenarnya, dalam pengajaran banyak agama dan pakar motivasi, nilai ini bukan sahaja nilai yang akan menjulang mahasiswa tersebut ke mata komuniti, bangsa dan industri, ia adalah
senjata utama untuk memerangi ego dan nafsu iaitu dengan meletak orang lain lebih daripada diri sendiri.
Sudah tentulah sesebuah firma yang mengambil calon sedemikian akan senang hati untuk membiarkan ia menjadi pemimpin projek atau pengurus cawangan kerana ia meletak staf, klien dan kenalan firma sebagai utama atau the customer comes first.
Kunci kejayaan individu bukan terletak kepada perjuangan untuk diri sendiri tetapi
perjuangan membantu orang lain dan ia akan berpusing kembali mendatangkan manfaat bukan sahaja secara sosial tetapi sebagai barakah spiritual.
Makna
Apa yang dimaksudkan oleh nilai ini adalah mahasiwa itu
lebih mementingkan kebaikan orang lain daripada diri sendiri dalam sesuatu hal. Contohnya, jika ia mempunyai makanan, ia akan mempelawa orang lain makan dahulu dan bukan dirinya.
Jika ia mempunyai masa lapang ia akan melihat kepada siapa akan ia beri khidmat masanya dahulu sebelum ia sendiri pergi menonton wayang atau bersiar-siar. Jika orang Melayu dan orang Islam boleh melihat kepada kepentingaan orang lain dan tidak asyik terjerit-jerit mengingatkan orang lain tentang keperluan perkara yang boleh disifatkan remeh temeh, mungkin orang lain akan lebih menghormati bangsa Melayu dan Islam.
Dalam keadaan sekarang, asyik kedengaran umat Islam menjerit-jerit tentang coklat Cadbury, Erykah Badu, suara azan, Bak Kut Teh, penggunaan nama Allah, orang Buddha bermeditasi dalam surau pusat rekreasi dan banyak lagi.
Pertama sekali, perlukah umat Islam dan bangsa Melayu
menjerit,
memaki,
membakar dan
mendemonstrasi untuk merakamkan
keprihatinan mereka tentang isu-isu ini? Orang Melayu dan umat Islam perlu membuat pernyataan dengan
beradab dan merakamkan isu tersebut dalam media serta pada pihak berkenaan.
Di manakah
sensitiviti terhadap orang lain? Bayangkan umat Islam dan Melayu disifatkan seperti monyet dan kera terjeriit-jerit menjulang sepanduk dan kain tebar.
Dalam nilai berjuang untuk orang lain, mahasiswa perlu mengambil kira
sensitiviti budaya dan meletakkan ia ke tempat tinggi dan mengambil
tindakan yang beradab,
sopan dan
bertamaddun. Ini tidak bermakna mahasiswa memberi muka tetapi adalah lebih perlu
menjaga muka agar nama baik Islam dan bangsa budayawan dan budiman Melayu tidak terpalit dengan beberapa
tindakan melulu tidak kenal sopan santun.
Rasionalisasi sosial
Dalam kehidupan kita, nilai berjuang untuk orang lain amat mudah dilihat pada
pengorbanan ibu bapa kita. Mereka berdua berjaga malam menjaga anak yang demam, bekerja bertungkus lumus mencari wang bagi memberi makan, membeli pakaian dan menyekolahkan anak-anak hingga ke peringkat universiti.
Kadang-kadang terdapat ibu bapa yang mempunyai 5, 7 atau 10 anak yang perlu disekolahkan dan mereka tidak mampu bercuti ke luar negara seperti yang tersemat pada Facebook rakan sebaya mereka. Hanya selepas berpuluh tahun menjaga, barulah pengorbanan itu membuah hasil dengan kejayaan anak-anak dan tumpang kasih pula kepada mereka.
Kenapakah ibu bapa berbuat demikian? Ini adalah
sifat semulajadi kurniaan Allah dan suatu mekanisme yang
memastikan kejayaan umat manusia di bumi ini. Maka itu berjuang untuk orang lain adalah suatu sifat semulajadi yang mempunyai
implikasi sosial kekeluargaan yang penting.
Pada tahap lain pula, kita semua biasa dengan
membantu kawan. Jika kawan kita telefon yang keretanya pancit atau rosak, kita akan berusaha meninggalkan keselesaan rumah berdepan televisyen dan X-box 360 untuk berkejar membantu kawan itu. Mengapa? Sebab dengan kawan kita termeterai suatu
perjanjian ghaib ‘
aku akan tolong engkau dan engkau nanti akan tolong aku’.
Berbeza dengan perjuangan
ibu bapa di mana si ibu dan si bapa tiada berharap belas kasihan anak tetapi ia sebagai
tanggungjawab sosial dan agama yang wajib dilaksanakan. Tetapi dengan
kawan, kita ada
pilihan, kita boleh bantu atau tidak.
Bantuan sedemikian akan membawa manfaat masa depan kepada individu kerana putaran hidup akan pasti meletakkan kita di bawah dan
tidak akan sentiasa kita berada di atas dengan kesenangan, kekayaan, kesihatan dan ketenangan.
Kalau kita berkawan dengan rakan yang
pelbagai agama,
kaum dan
status sosial, kita menjadi manusia yang amat disayangi dan dihormati. Kesayangan dan penghormatan orang lain kepada kita
tidak akan terdapat dengan kekal dengan cara kita menjerit mengugut-ugut untuk membakar, menghalau bangsa asing dan memboikot hubungan sosial serta ekonomi. Sifat berjuang untuk orang lain adalah
sifat mulia sebagai asas permulaan berkawan dan sesungguhnya
kita tidak boleh hidup di dunia ini tanpa berkawan.
Pada tahap lain pula kita perlu berjuang untuk orang lain dalam
pasukan kita supaya kita dapat mengalahkan pasukan lawan dan memenangi pertandingan tersebut. Jika kita seorang
full back, kita harus memastikan yang kita
mempertahankan benteng pasukan dari dibolosi oleh pihak lawan dan kita harus
memastikan yang kita menghantar bola itu kepada pemain striker kita yang menyelinap di pihak musuh.
Dalam hal ini kita berjuang untuk pasukan kita dan kita
tidak boleh mempunyai sifat menunjuk-nunjuk dan
membolot bola itu sendirian. Walupun kita bernama Pele atau Diego Maradona,
kita tidak mampu menerobos gol lawan tanpa bantuan dan perjuangan rakan kita yang lain.
Maka itu, sifat berjuang untuk entiti luaran seperti sebuah pasukan atau sebuah firma bagi
mempastikan kejayaan bukan secara individu tetapi bersama adalah salah suatu nilai yang perlu disemai dalam mahasiswa Melayu yang cemerlang.
Berjuang
untuk kaum sendiri, sebagai contoh,
mengajar pelajar Melayu di kampung-kampung bagaimana membaca buku Bahasa Inggeris. Sebagai mahasiswa yang
bertanggungjawab terhadap masyarakat Melayu harus ada segelintir mereka yang boleh menggerakkan organisasi bagi menjayakan
projek ini.
Pameran dan ceramah motivasi belajar dan budaya kampus juga boleh membantu
anak-anak yang tiada abang atau kakak yang melangkah ke ambang universiti. Mahasiswa yang mengambil inisiatif demikian akan dipandang sebagai
orang yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai oleh firma swasta dan pastinya mereka memilih mahasiswa Melayu yang berjuang ini.
Pada peringkat kebangsaan, mahasiswa Melayu perlu menggerakkan kerjasama dengan kaum lain untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum dan mencapai
perpaduan rakyat Malaysia yang diidami selama ini. Dengan gandingan
kerjasama semua kaum, Malaysia dapat
menjadi pedoman kepada dunia bagaimana untuk
menyelesaikan masalah perkauman dan kerjasama antara budaya.
Mahasiswa Melayu sebegini bakal menjadi
pemimpin berwibawa yang dipercayai dan disayangi serta disanjungi oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira dari kaum atau agama mana sekalipun. Jangan asyik mengecil-ngecilkan kaum lain dan menyalahkan mereka terhadap segala yang berlaku sebagai musibah kepada kaum Melayu dan orang Islam.
Hanya mahasiswa Melayu yang tidak cemerlang sahaja akan
memperlekahkan sumbangan kaum lain dalam pembangunan Malaysia. Perlu ada mahasiswa Melayu yang mempertahankan kaum lain daripada dihina sedemikian jika kita ingin perasaan hormat dan kasih sayang dari mereka.
Rasionalisasi spiritual
Eknath Easwaran adalah seorang
professor Bahasa Inggeris yang dilahirkan di
India tetapi dibesarkan daripada sudut
akademik di England. Beliau terkenal kini sebagai pengamal meditasi secara Hinduisme dan membuka pusat meditasi bagi mengajar orang Barat bagaimana menghilangkan ketegangan hidup.
Dalam sebuah buku yang ditulisnya, '
The End of Sorrow: The Bhagavad Gita for Daily Living', yang merupakan tafsir Kitab Bhagavad Gita, beliau menyebutkan
manusia tidak berupaya menggembira atau menenangkan dirinya sendiri kecuali dengan cara membantu orang lain.
Cara sebegini adalah untuk menundukkan
ego manusia yang bermaharajalela dalam hati manusia. Ego amat suka jika tubuh dan hati menurut kata-katanya serta semua perbuatan adalah untuk kebahagaiannya. Namun
manusia tidak akan sekali-kali membuat ego berpuas hati maka itu manusia tersebut akan
sentiasa dalam keadaan tegang.
Dengan cara memfokus untuk membantu orang lain maka
ego ditinggal bersendirian dan ini akan mengembalikan roh manusia yang benar dan berkasih sayang untuk
kembali ke lubuk hati memerintah otak dan badan serta tutur kata yang terbaik. Maka itu berjuang untuk orang lain akan menjinakkan atau mengawal ego daripada bermaharajalela.
Joel Osteen pula, sebagai seorang
penceramah agama, menulis buku '
Be a Better You' dan mencadangkan kita semua wajib
membantu orang lain naik pangkat atau naik daripada kejahilan kepada kesedaran.
Beliau bayangkan yang setiap individu harus mempunyai
akaun perbuatan. Jika ia berjumpa dan bertegur sapa serta bersembang dengan orang lain maka akaun perbuatan itu bertambah. Jika seseorang itu berselisih faham dengan orang lain maka mereka akan mengeluarkan saham akaun dan berbaik semula.
Jika mahasiswa Melayu
membantu seseorang itu berbuat yang baik maka mereka pun berupaya menghasilkan
penyelamat dunia daripada kejahilan pelbagai. Dalam interaksi kita dengan orang lain, haruslah kita menyimpan akaun perbuatan dan ini boleh menjadi sokongan baginya dalam mengharungi kehidupan.
Norman Vincent Paele merupakan seorang
ahli psikologi dan pendakwah Kristian. Beliau banyak membantu orang yang mempunyai gangguan jiwa dengan kaunseling dan juga menggunakan nilai Kristian.
Pada satu ketika seorang
ahli perniagaan yang mempunyai syarikat besar datang kepadanya dan menyatakan
kesukaran beliau untuk berasa tenang. Dr Norman
mencadangkan beliau patut memberi fokus kepada orang lain dan komuniti.
Beliau dicadangkan
menegur sapa orang yang dirasakan tidak penting seperti penjaga pintu, tukang sapu dan beliau juga disarankan aktif dalam gereja komunitinya. Setelah beberapa bulan beliau menjalankaan nasihat Dr Paele, orang itu lebih tenang dan tenteram sehingga boleh menjalankan tugas harian dengan sempurna. Kunci ubatnya adalah
membantu dan berjuang untuk orang lain.
Dalam
hadis Rasulullah, tersebut kisah seorang yang hidup pada zaman Nabi Muhammad tetapi beliau
tidak berupaya untuk berjumpa dengan Nabi sebab ia terpaksa menjaga ibunya yang buta. Tetapi Rasulullah mendapat wahyu orang ini, walaupun tidak dapat berjumpa dengannya diberi khabar oleh malaikat dia termasuk dalam golongan ahli syurga.
Para sahabat berupaya mencari orang itu dan akhirnya mereka berjumpa dengannya dan perbuatan yang menjadikannya ahli syurga adalah
khidmatnya pada ibu yang tua dan buta. Mementingkan orang selain diri sendiri menjadi kunci seseorang Islam ke syurga.
Dalam sebuah kisah lain,
Umar-Al-Khatab sebagai Amir-ul-Mukminun tatkala meronda bersama seorang pengiring peribadi untuk melihat sendiri keadaan orang Islam di bawah pemerintahannya, tiba di sebuah rumah usang.
Dalam rumah itu si
ibu sedang memasak ketulan-ketulan batu untuk menipu anak-anaknya supaya mereka tidur kelaparan. Umar terasa sangat sedih dan beliau terus
pergi ke tempat simpanan makanan dan memikul sendiri sebuah guni gandum dan barangan masak. Apabila pengiringnya menawarkan diri untuk membantu, Umar menjawab "
wahai sahabatku, adakah anda ingin memikul dosa-dosaku di akhirat nanti?" Umar sampai di muka pintu rumah usang tersebut dan memberikan gandum kepada si ibu. Sambil si ibu memasak,
Umar bermain-main dengan anak-anaknya sehingga makanan siap dan
mereka semua makan sehingga kenyang.
Dalam sebuah kisah lain, seorang
Badwi yang baru tiba ke
kota Madinah bergegas berlari-lari anak untuk mencari bantuan kerana
isterinya sakit hendak bersalin. Beliau terserempak dengan seorang
lelaki tinggi dan tegap dan memohon bantuannya. Lelaki itu terus membawa orang itu ke rumahnya. Di sana lelaki itu mengiring isterinya pergi
membantu isteri Badwi yang sedang sakit beranak. Apabila anak itu lahir, isteri lelaki tadi berkata "Ya Amirul Mukminin, sahabat anda mendapat anak lelaki!" Orang Badwi itu terkejut mengetahui lelaki tegap itu adalah
Khalifah Empayar Islam. Dalam dua kes ini, Umar
membantu orang lain yang tidak dikenalinya sebagai refleksi nilai Islam yang murni.
Kepentingan bagi Industri
Mahasiswa Melayu yang mempunyai nilai berjuang untuk orang lain akan menjadi seorang
pengurus atau penyelia yang baik kerana ia tidak terlalu memikirkan kebaikan bagi dirinya semata-mata tetapi menunjukkan
sensitiviti keadaan stafnya. Calon kepimpinan sedemikian juga berguna kepada industri kerana ia
mudah berkerjasama dengan orang-orang lain. Calon begini amat penting bagi sesebuah syarikat besar kerana ia akan
menjaga kepentingan syarikat tersebut serta membantunya bila perlu.
Akhir sekali, calon sebegini adalah yang biasanya
mempunyai visi sendiri terhadap
bagaimana membuat perubahan bagi
menyemarakkan peluang perniagaan dan perundingan. Mereka
tidak terlalu fokus naik pangkat semata-mata dan tidak akan menjadi
kaki bodek yang sentiasa mencari peluang untuk diri sendiri sahaja.
Mahasiswa yang mempunyai nilai berjuang untuk orang lain akan dapat menjadi seorang
pemimpin yang cemerlang dalam komuniti dan industri. Ini kerana ia
dapat mengawal kerakusan dan ketamakan ego untuk hanya mementingkan diri dan akan membawa badan ke arah binasa.
Dengan mementingkan dan mendahulukan orang lain, bukan saja ia
berjaya menjadi raja kepada hati dengan
mematahkan perintah ego atau nafsu, ia
dapat menjalinkan hubungan yang rapat dan intim dengan masyarakat sekeliling, baik di industri atupun dalam komuniti.
Pemimpin industri yang sedemikian rupa akan
membawa syarikat kepada kemuncak kejayaan yang diukur
bukan semata-mata nilai aset harta niaga tetapi aset sosial dan aset spiritual. – 13 Jun, 2014.