Friday, October 10, 2014

Pemerintahan kukubesi adalah caranya bagi Malaysia?

A link shared at J.I.M Facebook Page on October 10, 2014 at 12:10AM via IFTTT:

http://bm.theantdaily.com/Terkini/Pemerintahan%20kukubesi%20adalah%20caranya%20bagi%20Malaysia

Okt 09 2014

SEKILAS PANDANG: Rakyat Malaysia yang cintakan keamanan sedang tertanya-tanya bila agaknya Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO akan menghentikan golongan fanatik agama dan kaum anti-negara, dan mula mentadbir kesejahteraan ekonomi dan kewangan negara.

Walaupun kerajaan sedang berhati-hati dengan kesan-kesan ekstremisme, ia bertindak sebaliknya apabila berurusan dengan pelampau kaum dan agama dalam negara.

Pada hari Selasa lalu (7 Oktober) di Parlimen, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata pendirian Malaysia mengenai perkara itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah jelas, dan mengutuk segala bentuk keganasan termasuk kumpulan militan Negara Islam (IS).

Jelas sekali, keperluan untuk mengulangi pendirian Malaysia terhadap IS berpunca daripada tanggapan dunia bahawa Malaysia adalah sebuah syurga bagi kegiatan pengganas, seperti yang diunjurkan oleh laporan-laporan media tempatan dan asing.

Tetapi adakah urusan masih dijalankan seperti biasa bagi pelampau-pelampau seperti Perkasa dan Isma?

The Malaysian Insider melaporkan presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman sebagai mendakwa bahawa pemansuhan undang-undang tertentu juga boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan. dan digantikan dengan kerajaan yang menyokong golongan kapitalis.

Isma menyatakan di laman webnya pada 7 Oktober bahawa pemansuhan undang-undang seperti Akta Hasutan "dalam bentuk pakej" akan membawa kepada liberalisme dan mendedahkan negara kepada campur tangan asing, membolehkan kapitalis Yahudi dan Kristian menentukan dan membentuk dasar-dasar negara.

Wah! Begitu mudah sekali warga asing menakluk Malaysia? Sekali lagi, Isma suka mengkambinghitamkan orang-orang Yahudi dan Kristian. Tindakan hasutan?

Sudah tentu Abdullah Zaik mungkin betul, kerana hanya golongan otak udang sepertinya yang boleh berkata apa-apa yang dimahukannya, tidak kira berapa sensitif dan menjengkelkan, di Malaysia Darul Boleh.

Kita tertanya-tanya berapa ramai orang-orang Yahudi dan Kristian yang ada di Malaysia akan menyokong orang asing untuk menggulingkan majoriti orang Melayu di Malaysia, seperti amaran oleh Abdullah Zaik.

Ini pastinya tidak ada dalam fikiran rakyat Malaysia aman yang cintakan negara dan mahukan negara mereka makmur dan harmoni, tidak seperti tingkah laku anti-perpaduan negara golongan fanatik bangsa dan agama ini.

Abdullah Zaik berkata, Akta Hasutan merupakan undang-undang buatan manusia, yang tidak berdasarkan kepada Islam, jadi ia boleh dikaji semula dari semasa ke semasa, digubah atau dimansuhkan.

“…dalam konteks perbincangan ini, adakah baik akta ini dihapuskan atau sebaliknya??" ajunya.

Abdullah Zaik berkata pemansuhannya akan membolehkan pihak-pihak tertentu untuk membahaskan isu-isu teras yang tidak boleh dicabar seperti kedudukan agama Islam, kedaulatan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, dan perkara-perkara mengenai bahasa Melayu.

"…semua itu boleh dibahas, dimansuh, diperdebatkan, dicadangkan, dimansuhkan dan sebagainya, Jadi ia memberi implikasi yang berat dan besar berkaitan kontrak sosial dan struktur masa depan negara," katanya.

Pemansuhan Akta Hasutan, kata beliau, perlu dilihat dalam bentuk "pakej" kerana ia hadir berikutan pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat, seruan memansuhkan Akta Perhimpunan Aman 2012, serta seruan untuk adanya kebebasan akhbar.      

"Jika berlaku penghapusan semua undang-undang ini secara pakej dalam negara kita, maknanya kita akan melihat satu bentuk liberalisasi yang begitu luas tanpa sempadan dan akhirnya di samping masalah yang saya sebutkan tadi, (membenarkan pertikaian perkara asas dalam perlembagaan), ia juga boleh mendedahkan negara kepada campur tangan luar di mana golongan kapitalis Yahudi dan Kristian boleh menentukan dan mempengaruhi dasar-dasar negara dan menentukan polisi negara mengikut kehendak mereka, mereka juga boleh menjatuhkan kerajaan, dan menaikkan kerajaan yang memihak kepada mereka,” tambah Abdullah Zaik.

Beliau memberi amaran bahawa keharmonian akan terancam tanpa undang-undang ini, dan mendedahkan negara kepada masalah yang lebih besar.

"Apalagi kalau kita lihat pada demografi struktur polarisasi kaum dan sebagainya, yang begitu kritikal dalam masyarakat kita sekarang. Ia membenarkan pertembungan antara pihak-pihak yang berkepentingan..." jelasnya.

Abdullah Zaik berkata isu sebenar di sini adalah penyalahgunaan undang-undang, penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik atau apa yang sering dipanggil "pendakwaan terpilih" sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, dalam isu penyalahgunaan kuasa, penguatkuasaan perlu dikawal, dan bukannya dengan memansuhkan undang-undang untuk menyelesaikan masalah.

“Undang-undang yang baik jika dikendalikan oleh orang yang jahat, boleh menjadi tidak baik, tetapi jika undang-undang yang tidak baik, jika dikendalikan oleh orang yang baik, boleh membawa kepada kebaikan.

"Isunya, baik buruk itu terletak kepada kesolehan seseorang pelaksana kepada undang-undang dan bukan kepada undang-undang tu sendiri.

Abdullah Zaik berkata Isma bersetuju dengan sesetengah pihak yang mencadangkan Akta diperbaiki dengan peruntukan yang menegakkan kedaulatan dan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kalaupun ada usaha untuk mengubah atau membaikinya, hendaklah menjurus ke arah tidak berlakunya salah guna kuasa, dakwaan terpilih dan tindakan-tindakan yang bercanggah dengan undang-undang Islam dan syariat, bercanggah dengan undang-undang  yang sedia ada itu sendiri.

"Itulah yang kita rasa perlu lakukan dan relevan untuk dianjurkan," tambahnya.

Seruan untuk memansuhkan Akta Hasutan telah dipergiatkan sejak beberapa bulan lalu selepas beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib pengerusi DAP Teresa Kok, dan aktivis-aktivis telah disiasat dan didakwa satu demi satu di bawah Akta itu.

Abdullah Zaik juga menghadapi tuduhan hasutan kerana didakwa menyifatkan masyarakat Cina sebagai "penceroboh yang dibawa oleh kerajaan British" pada 6 Mei.

Jadi, adakah Abdullah Zaik dan golongan sepertinya menyokong pemerintahan kukubesi BN?

http://bm.theantdaily.com/Terkini/Pemerintahan%20kukubesi%20adalah%20caranya%20bagi%20Malaysia


0 comments:

Post a Comment

Share

Join us on Facebook